
PENERAJU TEKNOLOGI AUTOMOTIF, SEMIKONDUKTOR DUNIA KEMBANG OPERASI DI MELAKA
AYER KEROH 19 Jun – Syarikat peneraju teknologi automotif dan semikonduktor dunia, Possehl Electronics menyatakan hasrat untuk mengembangkan lagi operasinya di Melaka menjelang tahun 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat itu antara yang dizahirkan pada lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Melaka bersama barisan kepimpinan Possehl Electronics di Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Munich, Jerman, hari ini.
Menurut beliau, pada pertemuan itu, Possehl Electronics bercadang untuk mengembangkan operasinya sama ada di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Batu Berendam atau Taman Teknologi Jerman (GTP) di Ayer Keroh.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan hasrat syarikat ini membuka lembaran baharu kerjasama strategik untuk mengembangkan operasinya di Melaka menjelang 2026.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr. Andre Philipp, Ketua Pegawai Eksekutif Possehl Electronics atas kesudian bertemu pada majlis ini, seterusnya membuka ruang kerjasama di antara Melaka dan Possehl Electronics,” katanya.
Delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengarah MIDA Munich, Jerman Wan Farulnizam Wan Mohd Faizul serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, dengan gabungan kepakaran Possehl dan komitmen Kerajaan Negeri, Melaka akan terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab utama perindustrian termasuk dalam bidang automotif dan semikonduktor, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai nadi industri masa depan di Asia Tenggara.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menumpukan kepada aspek kelestarian, selain merangsang inovasi dan pertumbuhan jangka panjang.
“Bagi merealisasikan visi ini, beberapa bidang tumpuan telah dikenal pasti untuk memberikan impak berkekalan termasuklah mobiliti elektrik, pengurusan sisa pintar melalui digitalisasi serta pembangunan bandar rendah karbon.
“Inilah antara langkah Kerajaan Negeri bagi membina ekosistem pelaburan lestari, menerusi pembangunan 22 taman industri dan 3 taman perindustrian baharu berteknologi tinggi yang bukan sekadar membawa pelabur, tetapi membuka ribuan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Melaka.
“Tentunya, Kerajaan Negeri bersedia untuk memberikan sokongan dari aspek sumber tenaga manusia khususnya dengan adanya institusi TVET, keperluan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan menawarkan insentif dari pihak negeri selain yang diberikan oleh pihak MIDA,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.