
PENGALAMAN BERMAKNA SERTAI ZOOMANJI @ ZOO MELAKA
AYER KEROH 23 Januari – Pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Zoo Melaka menjadi detik bermakna buat kakitangan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) yang menyertai Program Zoomanji @ Zoo Melaka.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan pemuliharaan dan pembinaan pasukan itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri suasana Zoo Melaka sambil menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang direka untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan hidupan liar.
Menurut peserta, Mazwani Adnan, 47, dia teruja apabila dapat melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan, selain memahami peranan Zoo Melaka itu sendiri.
“Ini kali pertama saya ke Zoo Melaka dan pengalaman ini sangat berbeza kerana kami bukan hanya berjalan melihat haiwan, tetapi turut menyertai aktiviti yang menyeronokkan serta memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nada sama turut disuarakan peserta Nur Farha Liyana Yasin, 35, yang menyifatkan Zoomanji @ Zoo Melaka sebagai lokasi tepat untuk agensi dan syarikat mengadakan CSR berkonsep rekreasi.
Dia turut memuji pendekatan kreatif yang dibuat Zoo Melaka menggabungkan elemen pendidikan dan tanggungjawab sosial.
“Program CSR menerusi Zoomanji ini secara tidak langsung membuktikan Zoo Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan, malah berperanan sebagai pusat rekreasi yang mendidik orang ramai.
“Pada saya Zoo Melaka wajar untuk meneruskan program ini kerana sedikit sebanyak kami sebagai peserta mendapat pendedahan dan kesedaran terhadap kelestarian alam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


