
PENGANJURAN PELBAGAI PROGRAM PELANCONGAN RANCAKKAN JUALAN KRAFTANGAN
BANDA HILIR 16 Januari – Penganjuran pelbagai program pelancongan bertaraf nasional dan antarabangsa oleh Kerajaan Negeri bermula dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) diakui amat membantu dalam memacu ekonomi peniaga tempatan.
Impak daripada penganjuran program berkenaan turut memberi tempias kepada peniaga cenderamata di Bazar Kraftangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Dataran Pahlawan Megamall apabila jualan mereka menunjukkan peningkatan.
Menurut peniaga, Harlikah Rasmijan, 53, peningkatan paling ketara adalah ketika hujung minggu atau musim cuti sekolah kerana ramai memilih untuk bercuti di Melaka.
“Paling popular dan diminati sekarang ini adalah kraftangan atau cenderamata yang bercirikan Melaka, ada nilai dan unsur sejarah.
“Pelancong luar kalau berkunjung memang mereka akan cari barangan seperti magnet peti sejuk, batik dan kraftangan berunsur sejarah Melaka.
“Kalau cuti sekolah jualan memang naik. Ada hari tertentu kami hampir tidak menang tangan melayan pelanggan, terutamanya yang ingin membawa pulang cenderamata sebagai kenangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di bazar berkenaan.
Sementara itu, Nurul Liyana Kamaruldzaman, 36, mengusahakan perniagaan kraftangan warisan keluarganya menyifatkan penganjuran pelbagai program menarik di negeri ini sedikit sebanyak memberi tempias kepada peniaga.
“Bila pelancong ramai, peniaga kecil seperti kami turut menerima tempiasnya. Ini secara tidak langsung membantu menjana ekonomi peniaga tempatan.
Pandangan sama dikongsi Abdul Rahim Embi, 59, yang memaklumkan hasil kraftangan buatan tangan menerima sambutan menggalakkan kerana pelancong lebih menghargai produk unik dan bernilai seni.
“Pelancong sekarang lebih suka barangan yang ada nilai tradisi dan identiti Melaka. Itu yang membuatkan jualan kraftangan kami terus meningkat.
“Jika kehadiran pelancong terus stabil, ia bukan sahaja menguntungkan peniaga, malah membantu mengekalkan warisan kraftangan tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

