
PENGKALAN BATU MERIAH DENGAN PROGRAM SEPANJANG RAMADAN
PENGKALAN BATU 2 Mac – Sejumlah hampir RM50,000 diperuntukkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu bagi melaksanakan pelbagai program pengimarahan sepanjang Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, peruntukan itu disalurkan pihak Japerun bukan sahaja kepada kesemua 23 cawangan tetapi juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), masjid dan surau.
Beliau berkata, peruntukan itu dibuat bagi memastikan pelbagai aktiviti imarahkan Ramadan termasuk program bubur lambuk dapat dibuat dengan baik.
“Untuk setiap masjid misalnya kita menyalurkan peruntukan sebanyak RM2,000 manakala surau RM1,000, di mana kita mengharapkan selain majlis tadarus al-Quran dan taqarrub Ramadan, program seperti bubur lambuk juga dapat dilaksanakan.
“Kebiasaannya program bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk di DUN Pengkalan Batu.
“Walaupun jumlah peruntukan ini tidak besar, namun sedikit sebanyak ia dapat membantu menggerakkan program dan memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mahabbah al-Quran Perdana Wanita Hang Tuah Jaya 2026 yang disempurnakan isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, di Masjid Al-Azim, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, selain pengisian di masjid dan surau, pihaknya turut menganjurkan program menyantuni anak yatim dan asnaf dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta.
“Dalam kemeriahan menyambut Syawal pastinya tidak dilupakan mereka yang kurang bernasib baik untuk itu kami turut menyantuni anak-anak yatim dan asnaf yang terpilih dengan membawa mereka membeli pakaian raya.
“Disamping itu juga program ziarah kasih masih diteruskan bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir selain kebajikan mereka diambil cakna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


