Sorting by

×

PENIAGA SAMBUT BAIK PROGRAM ‘CASHLESS’ MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

ALOR GAJAH 30 Mei – Pembayaran tanpa tunai atau ‘cashless’ bukan sahaja memudahkan peniaga dan pengguna, sebaliknya dapat mengurangkan risiko daripada berlakunya penipuan ketika melaksanakan transasksi.

Pengusaha gerai menjual makanan di Masjid Tanah, Sarina Nijah, 43, berkata, dia sudah melaksanakan transaksi tanpa tunai sejak tiga tahun lalu dan amat menyokong usaha itu yang dilihat perlu diperluaskan lagi ke seluruh Melaka.

Katanya, berdasarkan pengalaman dia pernah mengalami kerugian apabila tanpa disedari menerima wang palsu daripada pelanggan yang membuat pembayaran.

“Tetapi menggunakan kaedah cashless wang terus masuk ke dalam akaun, menjamin transaksi dilaksanakan selain mudah dan pantas. Sebagai peniaga saya amat menyokong inisiatif ini yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Kepada rakan peniaga lain, termasuk penjaja kecil sudah tiba masanya anda semua meneroka sistem pembayaran digital ini, anda akan tertarik apabila sudah faham bagaimana kaedah ini berfungsi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Pembayaran Tanpa Tunai Cashless Kepada Peniaga dan Penjaja Kecil Tahun 2025 anjuran MPAG di Dewan Bougainvilla MPAG, di sini, pada Rabu.

Sementara itu seorang lagi peniaga makanan Rusilah Ibrahim, 59, teruja dan tidak sabar untuk melaksanakan sistem cashless di premis miliknya selepas membuat pendaftaran kod QR dengan pihak bank.

Rusilah yang menjalankan perniagaan di Taman Seri Aman, Masjid Tanah berkata, inisiatif itu dilihat banyak memberikan manfaat kepada peniaga kecil sepertinya.

“Alhamdulillah banyak maklumat saya dapat sepanjang menghadiri sesi taklimat ini terutamanya berhubung kod QR yang juga satu perkara baharu buat diri saya.

“Sebagai pengguna baharu mungkin sedikit kekok tetapi insya-Allah saya akan semakin mahir selepas ini, meskipun peniaga kecil saya perlu mengikut peredaran semasa kerana ketika ini sudah ramai pelanggan membudayakan kaedah pembayaran secara cashless,” katanya.

Manakala wakil Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Cawangan Alor Gajah, Nazarin Yusop, menyifatkan program tersebut sebagai satu langkah yang memudahkan urusan peniaga.

“Taklimat yang disampaikan merupakan inisiatif terbaik MPAG kerana ia memudahkan transaksi kewangan dan memberi manfaat kepada pengguna.

“Justeru, saya berharap peniaga yang masih belum menggunakan bayaran tanpa tunai di kawasan Alor Gajah dapat segera beralih kepada kaedah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post TRANSFORMASI PASAR MALAM SUNGAI UDANGĀ 
Next post MAJLIS ILMU, BERSELAWAT DI WRUR SETIAP DUN