Sorting by

×

PENJAWAT AWAM WAJIB JADI EJEN PEMBAHARUAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi merupakan tulang belakang kestabilan negara serta pemegang amanah sistem pentadbiran Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, semangat taat setia dalam perkhidmatan awam bukan satu pilihan, tetapi asas utama dalam menjayakan misi negara MADANI yang berpaksikan nilai, integriti dan kecekapan.

“Kita bukan hanya pelaksana. Kita adalah penjaga kestabilan, penyambung kepercayaan rakyat dan pemegang amanah kepada sistem pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.

Turut hadir Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr. Roslan Hussin; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurutnya, perkhidmatan awam kini disokong lebih 1.6 juta penjawat awam merentasi semua peringkat.

“Kita perlu memahami bahawa reformasi dalam perkhidmatan bukan sekadar perubahan dasar atau struktur, sebaliknya melibatkan pembaharuan semangat dan pendekatan.

“Saya perkenalkan ‘Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam’ sebagai usaha nasional mentransformasikan sistem perkhidmatan supaya lebih telus, tangkas dan berfokus kepada rakyat,” katanya.

Katanya agenda itu digerakkan melalui lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) iaitu penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi awam-swasta.

“Segala perancangan dan pelan strategik itu tidak akan bermakna sekiranya tidak diterjemahkan dalam amalan seharian setiap penjawat awam.

“Reformasi bukan kerja satu pihak sahaja. Ia adalah tanggungjawab kita bersama, di mana pun kita bertugas kita mesti menjadi agen pembaharuan bukan tunggu arahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

693
Kongsi :
Previous post MELAKA SOKONG USAHA PERKUKUH NILAI MADANI – KM
Next post MELAKA PACU PERKHIDMATAN DIGITAL LEBIH CEKAP