Sorting by

×

PENJENAYAH SIBER ‘KAUT’ LEBIH RM51 JUTA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

REMBIA 12 Ogos – Sebanyak RM51.9 juta kerugian melibatkan 1,568 kes penipuan direkodkan di Melaka daripada Januari hingga 10 Ogos tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, angka tersebut disifat membimbangkan memandangkan jumlah kerugian terus meningkat dari hari ke hari.

Justeru, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri akan terus giat membanteras jenayah siber itu dengan memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai program termasuk Kempen Internet Selamat (KIS).

“Selain itu, bagi memastikan keselamatan masyarakat terhadap jenayah ini, kita turut mengadakan slot khas mengenai ‘scam’ dalam setiap siri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

“Mangsa kebanyakannya terpedaya dengan pelaburan palsu, penipuan pekerjaan, ‘love scam’ dan juga scam politik.

“Setiap hari ada sahaja kes penipuan pembelian dalam talian seperti motosikal, barang kemas dan lain-lain di media sosial yang direkodkan, oleh itu kesedaran masyarakat amat perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat Daerah Alor Gajah bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, Syed Isa Al-Sagoff.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Penyelaras DUN Rembia turut menasihatkan orang ramai supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum membuat pembelian, melihat ulasan dan komen, serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan luar biasa.

“Kalau ada yang menjemput ke dalam kumpulan Telegram yang meragukan, saya sarankan keluar segera bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post TOURISM MELAKA, MENARA TAMING SARI BUKTIKAN KEUNGGULAN SEKTOR PELANCONGAN MELAKA
Next post ABANG MAUT, ADIK PARAH MOTOSIKAL REMPUH POKOK TUMBANG