
PENUTUPAN JALAN SEMPENA WTD 2025 AKAN DIMAKLUM LEBIH AWAL
BANDARAYA MELAKA 14 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengenal pasti beberapa laluan yang berpotensi ditutup atau dilencongkan sempena penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada September depan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pengumuman rasmi bagaimanapun akan dilakukan pada masa yang sesuai.
Katanya, pemakluman awal akan dibuat melalui semua platform bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat perancangan perjalanan.
“Kita akan maklumkan lebih awal sebelum tarikh program yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September depan supaya orang ramai dapat bersedia.
“Laluan alternatif atau lencongan turut akan dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Media dan Komuniti MBMB 2025, di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan kelancaran trafik dan memberi keselesaan kepada pelancong serta penduduk tempatan sepanjang program berlangsung.
“Kita mahu memastikan kelancaran trafik selain memberikan keselesaan kepada pelancong dan warga tempatan sepanjang program berlangsung. Kita harap juga warga Melaka khususnya dapat memberikan sokongan kepada acara pelancongan dunia ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.