
PENYU KARAH KHAZANAH TIDAK TERNILAI MELAKA – WWF-MALAYSIA
BANDA HILIR 20 Jun – Penyu karah atau hawksbill sea turtle kini menjadi khazanah lautan tidak ternilai Negeri Melaka memandangkan negeri bersejarah ini menjadi lokasi pendaratan tertinggi spesies berkenaan dalam negara.
Meskipun begitu, penyu karah masih dikategorikan sebagai spesies yang sangat terancam berikutan populasinya yang semakin berkurangan dan berpotensi untuk pupus.
Atas faktor itu, Tabung Hidupan Liar Sedunia – Malaysia (WWF-Malaysia) mengambil inisiatif mempertingkat advokasi dan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat, khususnya rakyat dan pelancong mengenai pentingnya usaha menjaga populasi spesies berkenaan.
Menurut Pegawai Konservasi Marin WWF-Malaysia Azzakirat Raman, usaha itu penting bagi melindungi spesies berkenaan daripada tinggal sebagai sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
Ujarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, WWF-Malaysia bersama Pejabat Perikanan Negeri Melaka dan pelbagai pihak lain telah mempergiat usaha bagi memastikan negeri ini kekal menjadi destinasi pendaratan utama penyu karah.
Jelasnya, usaha yang dilakukan termasuklah mempergiat aktiviti penanaman pokok, antaranya pokok merambong, pokok ketapang, pokok pandan laut dan pokok tapak kuda yang sering menjadi lokasi untuk penyu betina bertelur.
“Usaha penanaman pokok ini dilakukan bersama pelbagai pihak termasuk penduduk kampung, di mana selain menjadi tempat bertelur, pokok ini juga membantu mengurangkan pencahayaan di pesisir pantai dan pada masa sama boleh menangani masalah hakisan.
“Jadi, kita sangat berharap orang awam turut memainkan peranan dengan tidak merosakkan pokok-pokok yang ditanam dan pada masa sama menjaga kebersihan pantai supaya populasi penyu karah ini kekal terpelihara,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program Santai Bicara@Muzium Samudera: Penyu Karah Khazanah Lautan Warisan Melaka di Muzium Samudera, di sini, semalam.

Menurut Azzakirat, sebelum ini, antara ancaman utama penyu karah adalah pencuri telur penyu atau ‘poacher’, namun kini kes itu semakin berkurangan disebabkan oleh kempen kesedaran dan penglibatan secara berterusan yang dilakukan Pejabat Perikanan Negeri Melaka bersama WWF-Malaysia.
Namun begitu, dia mengakui terdapat beberapa ancaman lain yang boleh menjejaskan pendaratan penyu karah di negara ini, antaranya pembangunan di kawasan pesisir pantai, selain faktor hakisan akibat perubahan cuaca.
“Meskipun begitu, WWF-Malaysia akan meneruskan usaha advokasi dan kesedaran ini, khususnya kepada generasi muda supaya lebih ramai cakna dan sedia mengambil peranan dalam memelihara khazanah laut tidak ternilai ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.