
PERAHU NAGA ‘GERGASI’ BAKAL PUKAU ORANG MELAKA
SERI NEGERI 13 Mac – Perahu naga terbesar sepanjang kira-kira 30.50 meter dari Shuang Rao, China bakal dipamerkan di Melaka sempena Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Ke-41 pada Jun depan.
Penasihat Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka Allex Seah Soh Chin berkata, apabila siap kelak perahu naga Shuang Rao itu bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi perahu terbesar di Melaka.
“Perahu ini akan dipasang di Melaka, di mana bahan-bahan buatan seperti kayu dibawa khas dari China ke Melaka begitu juga pembuat perahu turut dibawa dari daerah Heshan, Yiyang China.
“Proses pembuatan perahu naga Shuang Rao ini dijangka mengambil masa beberapa sebelum persembahan perahu ini dijadualkan berlangsung pada 14 Jun depan.
“Dengan panjang kira-kira 30 meter perahu tersebut mampu memuatkan seramai 108 ahli pasukan persembahan termasuk pemberi arahan, pemain suona, pemain gong dan 100 pendayung.
“Pihak penganjur turut merancang untuk mencalonkan perahu naga ini untuk mendapat pengiktarafan dalam Malaysia Book of Records,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Seri Negeri, semalam.
Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selain persembahan perahu naga Shuang Rao turut akan berlangsung pertandingan perahu naga pada 27 dan 28 Jun yang akan membabitkan kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara.
“Menerusi penganjuran program sebegini ia bukan sahaja dapat memperkenalkan warisan budaya serta mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua negara tetapi secara tidak langsung merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Ia juga dapat membantu melonjakkan sektor pelancongan negeri selain akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pemain industri pelancongan tetapi juga peniaga kecil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

