Sorting by

×

PERCUBAAN FASA PERTAMA LALUAN SEHALA PEKAN DURIAN TUNGGAL BERMULA 13 MEI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Mei – Masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Pekan Durian Tunggal bakal ditangani melalui pelaksanaan laluan sehala secara berperingkat bermula 13 Mei (Selasa) ini.

Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil berkata cadangan itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka melibatkan penutupan jalan berhampiran Taman Desa Idaman, berdekatan Pejabat Pos, Durian Tunggal.

“Ini antara usaha jangka pendek yang dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah, waktu tengah hari dan petang.

“JKR mencadangkan pelaksanaan sistem jalan sehala di Pekan Durian Tunggal dan fasa pertama ini akan menjadi permulaan kepada pendekatan secara berperingkat.

“Tempoh pelaksanaan akan dipantau selama dua minggu bagi melihat keberkesanannya terhadap aliran trafik di kawasan terlibat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal turut menzahirkan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan pihak JKR, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar.

“Kami juga mendengar sendiri pandangan serta aduan daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang terjejas.

“Justeru, Jumaat lalu (9 Mei) kita turun padang ke kawasan sekitar melibatkan beberapa pihak berkepentingan termasuk MPHTJ untuk melihat sendiri keadaan lalu lintas di Pekan Durian Tunggal.

“Isu kesesakan ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah menjejaskan aktiviti harian. Oleh itu, kerjasama semua pihak termasuk agensi teknikal dan masyarakat amat diperlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2031
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK PEREMPUAN DITEMUKAN LEMAS
Next post ANAK GAJAH MELINTAS SECARA TIBA-TIBA SEBELUM DILANGGAR LORI – POLIS