
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2025: MELAKA TUMPU PERSEDIAAN HADAPI PRN
AYER KEROH 14 Januari – Kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan hujung tahun ini menjadi keutamaan UMNO Negeri Melaka sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula hari ini hingga 17 Januari.
Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Melaka yang juga Jurucakap UMNO Melaka bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025 Datuk Mustafa Musa berkata, perkara utama lain yang akan disentuh adalah melibatkan hal berkaitan kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan ahli yang menjadi teras kekuatan parti.
“Keutuhan dan persefahaman dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan, peranan anak muda dalam mencorak landskap politik tanah air juga akan disentuh sepanjang empat hari perhimpunan berlangsung. Isu ini menjadi perhatian ramai bukan kita di Melaka sahaja.
“Bukan politik semata-mata, UMNO Melaka juga akan menyentuh usul mengenai pendidikan dan kos sara hidup,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mustafa berkata, pentas Perhimpunan Agung UMNO 2025 juga akan dimanfaatkan untuk berkongsi kejayaan dicapai pentadbiran Kerajaan Melaka yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Katanya, inisiatif dilaksanakan Ab Rauf bukan sekadar menyuburkan ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti kehidupan, malah merapatkan lagi perhubungan antara rakyat dengan pemimpin.
“Antara inisiatif terbukti berkesan yang boleh dikongsi adalah pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) dan Kampung Digital,” katanya.
Sebanyak 662 usul diterima daripada 175 bahagian bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025 dan melibatkan seramai 6,412 perwakilan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

