Sorting by

×

PERINCIAN KONSEP ‘RUMAH BANGSA’ HADAPI PRN MELAKA MASIH DALAM PERBINCANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TELOK MAS 24 Januari – Perincian konsep Rumah Bangsa yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 untuk diaplikasikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan bersama kepimpinan UMNO negeri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perincian mengenai konsep berkenaan akan dibincangkan secara menyeluruh bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Perbincangan terperinci masih belum dilakukan. Apabila beliau kembali daripada lawatan kerja di luar negara nanti, barulah metodologi yang sesuai dapat dibincangkan bagi menterjemahkan konsep Rumah Bangsa dalam konteks pilihan raya negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin Alai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Zaidi Attan serta Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan konsep berkenaan perlu diteliti dengan berhati-hati agar selari dengan realiti politik serta keperluan semasa di Melaka.

Penubuhan Rumah Bangsa sebelum ini dicetuskan Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini sebagai usaha memperkukuh kesatuan orang Melayu.

Dalam ucapan berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi membuka ruang kepada bekas ahli parti untuk kembali menyertai UMNO, sama ada secara individu atau secara berkumpulan (en bloc).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

249
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA DIJANGKA DALAM TEMPOH DUA HINGGA 10 BULAN – AHMAD ZAHID
Next post MPJ FOKUS PEMBANGUNAN PELANCONGAN JASIN 2026