Sorting by

×

PERJUANGAN 13 TAHUN PELIHARA KETURUNAN BABA NYONYA DIIKTIRAF JPN

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 21 Januari – Lega dan amat menggembirakan, itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan kegirangan komuniti Baba Nyonya apabila perjuangan mereka selama 13 tahun bagi mendapatkan pengiktirafan status keturunan peranakan itu akhirnya diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Presiden Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan Yong Hoe berkata, kelulusan diberikan JPN secara tidak langsung membuktikan mereka adalah keturunan Baba Nyonya yang tulen.

Kongsinya, kelulusan itu bukan mudah kerana bukan sahaja melibatkan urusan dokumentasi atau surat sokongan sebaliknya pelbagai lagi proses serta siasatan.

Jelasnya, mengikut rekod JPN mereka masih lagi dianggap masyarakat Cina, cuma keturunan ditetapkan sebagai Baba Nyonya, menggantikan kategori seperti Hokkien atau Teochew.

Lebih istimewa apabila beliau, menjadi individu pertama menerima kad pengenalan telah diluluskan permohonan penukaran keturunan ke Baba Nyonya dalam negara ini.

“Selama ini Baba Nyonya hanya dilihat sebagai produk pelancongan, sedangkan kami adalah satu identiti unik dengan sejarah panjang dalam pembinaan Tanah Melayu dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bil 1/2026 dan Perutusan Amanat Pengarah Pendaftaran Negeri (PPN) Melaka sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Ronald berkata, maklumat keturunan Baba Nyonya tidak dipaparkan pada kad pengenalan fizikal, sebaliknya direkodkan dalam cip serta dokumen kelahiran individu sahaja.

Jelasnya, setakat ini pihaknya mengeluarkan lebih 90 surat sokongan membabitkan permohonan bagi tujuan sama daripada individu di negeri-negeri lain.

“Setakat ini, sebanyak 71 permohonan telah diluluskan di Melaka, proses pertukaran keturunan ini melibatkan bayaran mengikut kadar sedia ada seperti ditetapkan JPN.

“Persatuan kami ada lebih 3,000 ahli berdaftar, namun jumlah sebenar komuniti Baba Nyonya di negara ini tidak dapat dipastikan kerana ketiadaan kategori rasmi sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut Ronald berkata, permohonan berkenaan turut dibawa kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum JPN diberikan amanah melaksanakan proses pertukaran keturunan berkenaan.

“Melaka menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan proses pertukaran ini bermula Oktober tahun lalu sebelum diperluaskan ke seluruh negara mulai 1 Januari 2026.

“Orang lama atau ibu bapa dalam komuniti kami sudah berusia 80 tahun ke atas dan objektif inisiatif ini bertujuan membantu serta memudahkan mereka, sekali gus meningkatkan imej perkhidmatan JPN, sekali gus memelihara keturunan peranakan,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memudahkan pemohon pihak persatuan menawarkan khidmat bantuan harian kepada individu keturunan Baba Nyonya sama ada ahli atau bukan ahli bagi tujuan pengesahan selain pengeluaran surat sokongan sebelum permohonan dibuat di JPN.

Lebih menarik lagi, JPN Melaka telah menjadi rujukan utama apabila beberapa JPN negeri lain termasuk Negeri Sembilan menyatakan minat untuk mempelajari pelaksanaan proses pengiktirafan keturunan Baba Nyonya ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post TERPEDAYA TAWARAN BAIKI MESIN BASUH, OPERATOR KILANG RUGI HAMPIR RM9,000
Next post MAIM BUKA RUANG, PELUANG USAHAWAN RIQAB TINGKAT TARAF HIDUP