
PERJUANGAN SAYA UNTUK RAKYAT TIDAK AKAN BERAKHIR – KM
BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Walaupun tempoh Kerajaan Negeri akan berakhir pada hujung tahun ini, namun Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak akan berhenti memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Melaka.
Kata beliau, perjuangan di bawah panji Demi Rakyat Untuk Rakyat dan gagasan Melaka Sayang Rakyat tidak akan berakhir, sebaliknya akan diteruskan tanpa henti untuk rakyat menilai sendiri segala perubahan yang telah dilakukan demi Negeri Melaka.
“Tanggungjawab ini tidak terhenti dalam satu tempoh, tetapi ia datang dari hati untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa henti.
“Insya-Allah, walaupun tempohnya (kepimpinan) akan berakhir, namun perjuangan kita masih belum berakhir Demi Rakyat Untuk Rakyat dan Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di MelakaFM menerusi segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ Sempena 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
Menurut Ab Rauf, sepanjang tiga tahun diberi amanah sebagai Ketua Menteri, lebih 200 pencapaian yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan rakyat telah dilakar.
“Tiga tahun ini bukan sekadar tentang pencapaian kerajaan, tetapi tentang perubahan yang dapat dirasai rakyat Melaka hari ini dan masa hadapan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


