Sorting by

×

PERKHIDMATAN KELAS PERTAMA MBMB BUAT WARGA BANDARAYA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus komited dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada seluruh warga bandaraya ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, keselesaan penduduk khususnya dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu menjadi keutamaan pihaknya.

Katanya, selaras dengan misi MBMB iaitu ‘Memacu Bandaraya Warisan Berdaya Huni Melalui Pentadbiran Yang Efisien Dan Responsif’, pihaknya sentiasa memastikan semua perkhidmatan diberikan dapat dirasai oleh masyarakat.

“MBMB menyediakan pelbagai kemudahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada seluruh kawasan pentadbiran kami yang antaranya pemotongan rumput, pembersihan longkang, penyediaan prasarana, menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur.

“Sejumlah RM29 juta telah dibelanjakan antara 2024 sehingga Mei 2025, bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pengurusan landskap termasuk catasan serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Kami sedaya upaya memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada warga bandaraya dan memastikan keselesaan warga bandaraya menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2025 yang turut dihadiri Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff, di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini.

Menurut Shadan, MBMB sentiasa menitikberatkan kepuasan pelanggan yang sudah semestinya adalah warga bandaraya selain terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Besar harapan saya agar semua pihak dan agensi berganding bahu dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dibawa oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu, Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2025 turut melibatkan 10 agensi berkaitan bagi memudahkan pelanggan yang datang membuat aduan, memberikan cadangan atau mendapatkan penerangan lebih jelas berhubung perkhidmatan disediakan.

Melaka Hari Ini (MHI) turut membuka rerui pada program itu bagi mempromosikan fungsinya sebagai media rasmi Kerajaan Negeri kepada orang ramai selain menguar-uarkan perkhidmatan serta produk ditawarkan.

Turut berlangsung, Jualan Agro Madani Anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post LTAM KEMBALI RANCAK, CATAT LEBIH 23,000 PENUMPANG
Next post US TRADE MOVE SPARKS ASEAN ECONOMIC RESPONSE