
PERMAINAN DAM AJI SEMAKIN POPULAR, DIMINATI RAMAI
AYER KEROH 15 Disember – Sejak permainan sukan rakyat ini diangkat, dam aji kini mencipta populariti luar biasa apabila bilangan masyarakat menunjukkan minat terhadap permainan itu semakin meningkat.
Ia dibuktikan apabila Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 berlangsung lebih meriah dengan merekodkan lebih 1,000 penyertaan dari dalam dan luar Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, edisi tahun ini mencatatkan lonjakan penyertaan sehingga 43 peratus berbanding edisi lalu, sekali gus menjadikan pertandingan itu lebih meriah, kompetitif serta inklusif.
“Tahun ini Kerajaan Negeri tampil dengan komitmen yang berterusan untuk memperkasa dan memartabatkan permainan tradisi Dam Aji, menjadikannya lebih meriah, lebih kompetitif dan lebih inklusif.
“Penyertaan yang melibatkan pelbagai usia generasi muda sehinggalah otai-otai Dam Aji ini sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap permainan rakyat tersebut di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Peringkat Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, sambutan luar biasa itu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat permainan tradisi tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
Terdahulu, Ab Rauf bersama kenamaan turut berkesempatan menyaksikan perlawanan akhir pertandingan Dam Aji Piala Ketua Menteri Kategori Terbuka dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


