
PERNAH BERGELAR ASNAF, ROSITA BANGKIT JADI USAHAWAN BERJAYA
AYER KEROH 22 Jun – Proses pembuatan menggunakan tangan sepenuhnya, selain menggunakan parutan kelapa segar membuatkan biskut kelapa dihasilkan usahawan Rosita Yunus, menjadi pilihan buat penggemar makanan tradisional itu.
Meskipun bentuknya kelihatan sama seperti kebanyakkan biskut kelapa yang berada di pasaran namun ia mempunyai keenakan dan aroma tersendiri.
Rosita, 52, berkata, ketika awal pembabitannya membuat biskut kelapa itu pada 2018, dia mengambil masa selama sebulan untuk mengolah resepi asal bagi mendapatkan rasa dan sukatan yang tepat walaupun resepi biskut tradisional itu sudah diberikan oleh kenalannya.
Katanya, meskipun sudah tujuh tahun berlalu, dia masih mengekalkan resepi dan sukatan yang sama dalam setiap adunan biskut kelapa ini bagi memastikan rasa biskut dihasilkan tidak berubah.
“Setiap orang ada cara dan teknik tersendiri untuk hasilkan biskut, untuk saya paling penting adalah penggunaan bahan utama iaitu kelapa. Penggunaan kelapa parut segar membuatkan rasa biskut itu berlemak dan berbau wangi.
“Walaupun biskut ini tidak popular dan menjadi rebutan ramai seperti kebanyakkan biskut lain tetapi ia mempunyai penggemar tersendiri sehingga apabila menjelang musim perayaan tidak menang tangan untuk saya siapkan tempahan,” katanya.
Dia yang juga usahawan bimbingan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ditemui Melaka Hari Ini pada sambutan Hari TVET Negara 2025, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.
Menurut Rosita, meskipun suatu ketika dahulu dia pernah tersenarai sebagai asnaf MAIM namun berkat kesungguhan bersama suami dengan cuba berniaga dan membuat pelbagai kuih termasuk tart dan kerepek pisang, mereka akhirnya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.
“Alhamdulillah dengan bantuan dan sokongan daripada MAIM begitu juga beberapa agensi lain termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan RISDA perjalanan kami dimudahkan sehingga ada pelanggan tetap.
“Selain bimbingan, agensi berkaitan turut menyediakan kursus termasuklah memberi bantuan bagi memastikan apa yang diusahakan berhasil dan bertahan walaupun menempuh saat genting ketika COVID-19 melanda dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.