Sorting by

×

PERPADUAN ASAS ‘KELUARGA BESAR MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KLEBANG 4 Mac – Melaka terus menjadi contoh terbaik sebagai negeri yang memiliki perpaduan dan keharmonian yang utuh apabila sesebuah perayaan itu dikongsi dan dirai secara bersama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kekuatan itu sekali gus menjadi manifestasi keluarga besar Melaka yang telah dibina sejak sekian lama.

Mengambil contoh penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 kali ini, Ab Rauf berkata, sambutan itu jelas mencerminkan kebersamaan rakyat merentas budaya dan agama apabila masyarakat berbilang kaum dapat duduk meraikan berssama, makan bersama serta melihat adat dan budaya secara bersama.

“Memandangkan Tahun Baharu Cina kali ini diraikan dalam bulan Ramadan, kita dapat melihat semangat hormat-menghormati antara kaum itu diterjemah dengan sangat baik apabila semua acara bermula selepas solat tarawih.

“Ini menunjukkan adat dan budaya umat Islam di negeri ini tidak diganggu, malah kita juga dapat meraikan adat dan budaya masyarakat Cina secara harmoni.

“Secara tidak langsung, ia menggambarkan bahawa struktur keluarga besar Melaka pada ketika ini berupaya memperkukuhkan lagi asas perpaduan yang telah terbina sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyifatkan perpaduan rakyat sebagai satu harta yang cukup besar nilainya dalam membangun dan membina Negeri Melaka.

“Kesepakatan ini amat penting supaya persafahaman antara kaum ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada kepimpinan Kerajaan Negeri merangka gerak kerja pembangunan berasaskan perpaduan dan kesatuan kaum di negeri ini,” katanya lagi.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR RM450,000 BANTU USAHAWAN ASNAF BERSINAR
Next post LEBIH 3,000 MERIAHKAN TAHUN BAHARU CINA BERKONSEP MELAKA SAYANG RAKYAT