
PERPADUAN KAUM TERUS MEKAR DI MELAKA
MACHAP JAYA 17 Februari – Sambutan Ambang Tahun Baharu Cina yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum menjadi simbol bahawa perpaduan terus mekar di bumi bersejarah ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kehadiran komuniti segenap lapisan umur tanpa mengira latar belakang meraikan sambutan itu jelas menunjukkan semangat muhibah dan kebersamaan masih utuh.
Menurutnya, acara perayaan seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan suasana, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan masyarakat majmuk.
“Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja kaum Tionghua hadir, malah Melayu, India termasuk Orang Asli turut bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu Cina 2026 di Padang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.

Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, kira-kira 4,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis berkenaan sekali gus memberi limpahan rezeki kepada lebih 60 peniaga tempatan.
Katanya, penganjuran tahun ini tampil dengan kelainan apabila sambutan di Machap Baru digabungkan dan diadakan secara serentak berbanding sebelum ini yang dilaksanakan secara berasingan.
“Saya berharap masyarakat terus mengamalkan budaya saling berkunjung bukan sahaja ketika perayaan, tetapi sebagai usaha berterusan untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara kaum,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


