
PERPUSTAKAAN DESA NADI PEMBANGUNAN KOMUNITI
PANTAI KUNDOR 8 Disember – Program Sentuhan Komuniti Bestari merupakan medium terbaik dalam membantu mempromosikan perpustakaan desa apabila melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, program kesinambungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah antara usaha untuk memperkukuhkan jaringan perpustakaan desa serta memperluaskan capaian ilmu.
Katanya, pelaksanaan program ini di Melaka khususnya di Perpustakaan Desa Kampung Gelam amat signifikan kerana perpustakaan desa pada masa kini bukan lagi sebuah bangunan kecil yang hanya menempatkan buku.
“Ia sebaliknya menjadi hab komuniti yang menyatukan masyarakat melalui ilmu, teknologi dan aktiviti pembangunan sosial.
“Untuk itu dengan adanya program Sentuhan Komuniti Bestari ia membantu mempromosikan perpustakaan desa kepada komuniti termasuk menjadi platform penting dalam merakyatkan ilmu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Program Sentuhan Komuniti Bestari 2025 Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Melaka, di Perpustakaan Desa Kampung Gelam, semalam.
Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.
Menurut Tuminah, dalam memperkasakan lagi akses ilmu yang lebih inklusif untuk penduduk, beliau amat berharap sekiranya PNM dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah lagi perpustakaan desa di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
“Perpustakaan desa memainkan peranan yang amat besar antaranya sebagai pemangkin pendidikan sepanjang hayat dan gerbang teknologi digital kepada komuniti.
“Saya mengharapkan supaya perpustakaan desa ini akan ada penambahan kerana di DUN Pantai Kundor ini kita mempunyai penduduknya kira-kira 38,000 orang selain kawasan yang luas mungkin sebuah lagi dapat dibangunkan di Lereh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


