
PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN MERIAHKAN MBLM EDISI MEI
AYER KEROH 1 Mei – Persembahan kebudayaan akan memeriahkan perkarangan Bangunan Stadthuys bersempena program Melaka Bila Larut Malam edisi Mei pada Sabtu ini.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad berkata, bagi memeriahkan penganjuran Melaka Bila Larut Malam pelbagai program menarik dirangka pihaknya selain daripada promosi tawaran harga tiket ke lokasi pelancongan.
“Elemen yang di bawa untuk Melaka Bila Larut Malam pada bulan ini adalah berteraskan kebudayaan di peringkat semua kaum yang terdapat dalam Malaysia.
“Maksudnya kita akan bawakan persembahan kebudayaan antaranya daripada masyarakat Melayu, Cina, India, Singh dan Baba Nyonya, kesemua persembahan ini pastinya akan menghiburkan pengunjung.
“Selain itu juga hasrat kita adalah untuk memperkenalkan kebudayaan setiap kaum yang ada kepada masyarakat termasuk juga pelancong,” katanya.
Menurutnya, dengan pengisian program yang diaturkan BPP bersama-sama dengan pihak yang mengambil bahagian dalam Melaka Bila Larut Malam seperti Menara Taming Sari ia akan menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong.
“Kelainan dan kepelbagaian diadakan ini diharap akan menggamit lebih ramai orang memeriahkan program Melaka Bila Larut Malam ini,” katanya.
Jelasnya, bertempat di pasaraya Mahkota Parade, BPP bersama Tourism Malaysia turut menganjurkan Melaka Malaysia Midnight Sale bermula 1 hingga 3 Mei.
“Menariknya pada hari terakhir iaitu pada 3 Mei bersempena Melaka Bila Larut Malam jualan promosi ini akan berlangsung sehingga 12 tengah malam.
“Sepanjang berlangsungnya jualan promosi ini beberapa tawaran menarik ditawarkan kepada pengunjung termasuklah potongan harga sehingga 40 hingga 50 peratus membabitkan produk terpilih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.