Sorting by

×

PERSIAPAN PRA-PELUNCURAN WTD 2025 SUDAH 95 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 30 Jun – Berbaki kurang seminggu sebelum berlangsungnya Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025), segala persiapan sudah mencapai 95 peratus.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menerima kedatangan tetamu dan juga peserta bagi menjayakan acara istimewa itu.

“Pra-peluncuran ini akan berlangsung pada 5 Julai depan dan persiapan untuk itu sudah 95 peratus hanya berbaki lima peratus sahaja untuk kita membuat pemerhatian dan sentuhan akhir sebelum tibanya hari tersebut. Kita sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menanti kedatangan dan menyambut tetamu serta peserta dari luar negara.

“Pada majlis itu nanti, kita menjemput semua duta negara yang ada di Malaysia untuk mempromosikan WTD2025 yang akan berlangsung pada September,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Keluarga Kota Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Taman Seri Telok Mas, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurut Abdul Razak, bertempat di Bangunan Stadthuys, semua rakyat Melaka dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan Pra-Peluncuran WTD 2025.

“Selain pelbagai acara menarik yang disusun turut akan memeriahkan sambutan adalah persembahan kebudayaan yang pastinya akan memukau tetamu.

“Malah turut akan berlangsung adalah Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, justeru itu saya amat mengalu-alukan rakyat Melaka untuk sama-sama hadir bukan sahaja bagi memeriahkan sambutan tetapi menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post MELAKA NAIKKAN KADAR BANTUAN MAKANAN BULANAN ASNAF
Next post SENI BUDAYA, PERMAINAN TRADISIONAL WARNAI PRA-PELUNCURAN WTD 2025