
PERSIDANGAN DEWAN BELIA MELAKA CAPAI STANDARD PROFESIONAL – SPEAKER
AYER KEROH 13 Ogos – Persidangan Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Negeri Melaka Pertama berjaya mencapai tahap profesional dan pengisian yang berkualiti walaupun pertama kali dianjurkan.
Speaker Dewan Belia Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata persidangan itu mencatat sejarah baharu kerana tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.
“Alhamdulillah persidangan dewan belia ini dan direalisasikan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya lalu.
“Format digunakan hampir sama dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebenar, lengkap dengan buku peraturan, lantikan timbalan speaker, angkat sumpah dan ucapan perasmian.
“Saya kagum dengan persembahan ahli-ahli dewan belia yang menepati masa, melontarkan hujah bernas dan pengisian yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri persidangan berkenaan di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Menurut Khaidhirah, tiga hari persidangan itu merangkumi sesi perasmian pada hari pertama, pembentangan usul dan perbahasan pada hari kedua serta penangguhan pada hari terakhir.
“Walaupun ramai pertama kali bersidang, mereka menunjukkan keyakinan dan profesionalisme. Ini membuktikan suara anak muda wajar diangkat sebagai rujukan dalam proses pembuatan dasar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, persidangan dewan belia dijadualkan berlangsung dua kali setahun dan tarikh akan ditetapkan mengikut kesesuaian selepas perbincangan bersama Unit Musaadah dan Unit Dewan Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.