
PERSIMPANGAN JALAN PAYA RUMPUT DINAIK TARAF, ATASI ISU KESESAKAN
PAYA RUMPUT 10 November – Persimpangan utama di Jalan Paya Rumput bakal dinaik taraf oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dalam masa terdekat bagi mengatasi isu kesesakan pada waktu puncak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR negeri telah meluluskan peruntukan RM4.1 juta bagi kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata kerja naik taraf itu akan memberi tumpuan kepada persimpangan utama di Jalan Paya Rumput yang menjadi laluan utama penduduk serta ibu bapa menghantar anak ke sekolah.
“Kawasan ini sangat sibuk kerana menempatkan tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah berhampiran Lebuh Raya Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ).
“Peruntukan ini diluluskan untuk menambah baik sistem lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Cilik Tenaga Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB): Tenaga Hari Ini, Menjana Hari Esok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Retail TNB Retail, Datuk Kamal Arifin Kamal dan Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Yusri Seman.
Mengulas lanjut, Rais berkata projek naik taraf jalan berkenaan kini berada pada peringkat perbincangan akhir bagi menentukan kaedah pelaksanaan terbaik sebelum dimulakan tidak lama lagi.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memastikan pembangunan pesat di kawasan Paya Rumput disokong dengan kemudahan infrastruktur yang lebih selamat dan teratur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


