
PERTANDINGAN FOTOGRAFI ‘MANA LAGI? MELAKA LER’ BERMULA HARI INI
AYER KEROH 26 Mei – Peminat fotografi dipelawa untuk menyertai Pertandingan Fotografi ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ anjuran Tourism Melaka yang bermula secara rasmi hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pertandingan ini diadakan sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) September ini.
“Pertandingan ini bertujuan menggalakkan orang ramai merakam keunikan dan keindahan Negeri Melaka melalui lensa masing-masing dan terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang atau tahap kemahiran fotografi.
“Ia adalah platform untuk merakam momen-momen istimewa Melaka yang kaya dengan budaya, warisan dan keindahan semula jadi. Lebih menarik, pertandingan ini turut mendapat tajaan hadiah menarik daripada pihak pembekal jenama terkenal seperti HONOR, Canon dan Nikon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpuan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Orang ramai boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan borang pertandingan secara dalam talian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.