Sorting by

×

PERTEMUAN MABIMS BUKTI KOMITMEN NEGARA ANGGOTA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Pertemuan Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-21, menunjukkan komitmen berterusan empat anggota negara itu dalam memperkukuh kerjasama serantau ke arah memperkasa hal ehwal Islam serta kesejahteraan ummah di rantau ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata,
pencapaian yang diperoleh menerusi kerjasama empat negara membuktikan keupayaan MABIMS sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan serantau sekaligus memperluas manfaat kepada masyarakat Islam.

“Penganjuran MABIMS kali ini diyakini akan terus memperkukuh sinergi serantau demi kesejahteraan
ummah dan masa depan yang lebih gemilang.

“Komitmen yang dizahirkan adalah untuk memastikan platform MABIMS terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk menjadi contoh terbaik kerjasama serantau dalam bidang hal ehwal Islam,” katanya menerusi kenyataan media selepas mempengerusikan Pertemuan MABIMS Kali Ke-21 di sebuah hotel, di Ayer Keroh, hari ini.

Menurut beliau, sepanjang penganjuran MABIMS kali ini, pelbagai program sampingan turut diadakan antaranya Forum Perdana Ehwal Islam Serantau, Program Komuniti ‘Semanis MABIMS, Seharum Serantau’ dan Melaka International Halal Festival (MIHF’25) serta Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal MABIMS.

“Malah MABIMS turut melancarkan Rancangan Strategik (RS) MABIMS 2026–2030 yang memperbaharui RS MABIMS 2021–2025.

“MABIMS juga turut berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai sebelum ini antaranya dalam aspek pelaksanaan dasar, pengurusan institusi agama, penyelarasan takwim hijri dan pembangunan sistem pengurusan halal yang semakin efisien serta inovatif,” katanya.

Jelasnya, pertemuan MABIMS Kali Ke-22 dijadualkan berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2027.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post PMR 2025: 150 PROGRAM SENTUHAN RAKYAT, MANIFESTASI SEMANGAT MELAKA
Next post PMR 2025: MELAKA REKOD HAMPIR 270,000 PENGUNJUNG