
PERTUMBUHAN EKONOMI MELAKA BAWA KEYAKINAN INSTITUSI PERBANKAN – KM
AYER KEROH 9 Jun – Perkembangan ekonomi yang baik dengan kemasukan pelbagai pelabur dalam dan luar negara menjadikan Negeri Melaka kini menjadi destinasi pilihan pelbagai sektor perkhidmatan, termasuklah institusi perbankan.
Ia dibuktikan menerusi pembukaan satu lagi cawangan baharu Bank Muamalat Malaysia Berhad di Melaka yang bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembukaan cawangan keempat bank berkenaan adalah disebabkan permintaan terhadap institusi perbankan yang semakin meningkat susulan keadaan ekonomi negeri yang baik.
Jelas beliau, perkara itu bertitik tolak daripada pelabur-pelabur yang datang seterusnya menjadi katalis ekonomi dengan membuka pelbagai peluang pekerjaan dan seterusnya memerlukan satu hubungan di antara rakyat dengan institusi perbankan domestik.
“Saya yakin dengan kehadiran Bank Muamalat ini ia akan memberi satu lagi suntikan semangat baharu dan pemangkin kepada ekonomi, khususnya membabitkan pemain-pemain industri di Melaka yang mahu menjalankan perniagaan mengikut syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Melaka di MITC, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad Khairul Kamarudin serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, pembukaan cawangan baharu bank itu di ‘segi tiga emas’ Negeri Melaka diyakini mempunyai potensi yang cukup baik memandangkan kedudukannya yang strategik terletak di kawasan pusat pentadbiran kerajaan dan dikelilingi pelbagai tarikan pelancongan.
“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Bank Muamalat kerana telah membuka cawangan keempat yang lebih cantik dan menarik dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.