
PERZIM DEKATKAN GENERASI MUDA DENGAN PERMAINAN TRADISIONAL
BANDA HILIR 31 Disember – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan menganjurkan Demonstrasi Permainan Tradisional pada 3 hingga 4 Januari 2026 bagi memartabatkan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan generasi masa kini.
Program yang diadakan di Muzium Istana Kesultanan Melaka itu bertujuan menarik minat pelancong sempena cuti persekolahan selain menghargai nilai sejarah dan sosial permainan tradisional dalam masyarakat.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, demonstrasi berkenaan akan menampilkan pelbagai permainan klasik seperti baling tin, baling selipar, congkak, batu seremban, konda kondi, dam ular dan capteh.
“Pengunjung, khususnya kanak-kanak dan remaja, berpeluang mencuba sendiri permainan tersebut sambil mempelajari cara bermain secara tradisional.
“Kita turut menjemput pengukir kayu yang mahir untuk mengadakan demonstrasi ukiran kayu sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus menghubungkan warisan permainan dengan seni dan identiti budaya Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Erne berharap program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai peringkat umur, khususnya keluarga dan generasi muda.
“Program ini juga berpotensi menjadi platform kesedaran berterusan mengenai kepentingan memelihara warisan budaya serta boleh diperluaskan ke sekolah, komuniti atau acara kebudayaan lain selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


