
PERZIM DOKUMENTASIKAN KHAZANAH MANUSKRIP MELAYU
BANDA HILIR 21 November – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berusaha memartabatkan warisan persuratan Melayu dengan menerbitkan Katalog Manuskrip Melayu Koleksi PERZIM.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, usaha mendokumentasi manuskrip Melayu koleksi PERZIM melalui penyediaan katalog tersebut adalah langkah besar ke arah memperkukuh warisan keintelektualan bangsa.
Katanya, usaha mendokumentasikan katalog itu mendapat kerjasama pakar Pusat Kajian Manuskrip Melayu (PUSKAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Diharap kerjasama seperti ini dapat diperluaskan dan menjadi sebagai rujukan dan sumber ilmu berkaitan warisan keintelektualan Melayu yang perlu dihayati.
“Katalog ini akan menjadi pelengkap penting kepada usaha memastikan khazanah manuskrip terus terpelihara, didokumentasi dan dapat dimanfaatkan generasi kini serta masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Muzium Sastera Melaka yang dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan di muzium berkenaan, di sini, hari ini.
Menurut Erne manuskrip yang berada dalam simpanan PERZIM berpotensi menjadi bahan kajian penting kepada penulis, pengkaji dan masyarakat serta boleh diakses terus di Muzium Sastera Melaka.
“PERZIM sentiasa komited memastikan muzium di bawah seliannya terus menjadi pusat pendidikan, rujukan dan penyelidikan bertaraf tinggi, selaras dengan tanggungjawab memelihara warisan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

