
PERZIM MODENKAN MUZIUM MELAKA DENGAN ‘AI CHATBOT ELYSSA’
AYER KEROH 8 Januari – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memodenkan sektor permuziuman dengan memperkenalkan AI Chatbot ‘Elyssa’ sebagai medium interaktif baharu bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, penyediaan Elyssa membolehkan pelawat mendapatkan maklumat berkaitan bahan pameran secara digital, pantas dan mesra pengguna sekali gus menjadikan lawatan ke muzium lebih menarik dan bersifat pembelajaran kendiri.
“Pendekatan ini memberi nilai tambah kepada produk muzium apabila pelawat dapat berinteraksi secara langsung dengan teknologi AI tanpa bergantung sepenuhnya kepada pemandu pelancong fizikal.
“Penggunaan AI Chatbot Elyssa bukan sahaja membantu menyampaikan maklumat secara lebih efektif, malah berupaya menarik minat golongan muda dan pelajar terhadap sejarah serta warisan Melaka melalui pendekatan teknologi moden,” katanya.

Menurut Erne, inisiatif berkenaan selari dengan usaha pendigitalan PERZIM yang turut melaksanakan 100 peratus transaksi tanpa tunai (cashless) di semua kaunter muzium.
“Inisiatif ini juga bagi mempercepatkan urusan pembelian tiket dan meningkatkan keselesaan pengunjung yang setakat ini menerima maklum balas positif daripada orang ramai
“Langkah ini membuktikan komitmen PERZIM dalam mentransformasikan muzium sebagai destinasi pelancongan dan pembelajaran yang interaktif, inovatif serta relevan dengan kehendak semasa, seiring perkembangan teknologi digital,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


