
PESAKIT KANSER TERLANTAR TERHARU TERIMA BANTUAN MAIM
DURIAN TUNGGAL 14 Oktober – Sudahlah jatuh, ditimpa tangga. Itulah gambaran mengenai nasib Mohd Shaiful Reduwan Mohd Said, 43.
Hidup lelaki ini berubah 360 darjah apabila diuji dengan kanser telinga tahap tiga pada tahun 2022 dan lebih malang dia mengalami pendarahan dalam kepala selepas terjatuh kira-kira tiga bulan lalu.
Isterinya, Salinah Khalim, 42 berkata, suaminya itu kini hanya terlantar dan tidak mampu lagi bergerak seperti dahulu.
“Selepas menjalani kimoterapi akibat kanser, suami masih boleh berjalan walaupun perlahan. Namun selepas jatuh, dia tidak lagi seperti insan normal yang lain dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.
“Dengan keadaan kami berdua tidak bekerja memang agak susah, namun kami bersyukur kerana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) banyak membantu kami menempuh kehidupan serba mencabar ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Taman Sri Siantan, di sini.
Terdahulu, mereka sekeluarga disantuni Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) MAIM bagi menyampaikan sumbangan kerusi roda, lampin pakai buang dan susu kesihatan untuk keperluan Mohd Shaiful Reduwan.
Selain sumbangan alat bantu pulih, keluarga berkenaan turut menerima Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Sakit Terlantar, Bantuan Sekolah Anak, Bantuan Pakaian Sekolah dan Bantuan Persediaan Ramadan daripada MAIM.
Ibu kepada tiga anak itu hanya mampu memanjatkan rasa syukur dan terima kasih di atas keprihatinan MAIM yang banyak membantu meringankan beban yang dihadapi.
“Alhamdulillah, permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada MAIM amat mudah, kami hanya mengisi borang di Japerun dan menghantarnya ke Pejabat MAIM. Tidak lama menunggu, MAIM segera membantu kami.
“Hanya ucapan terima kasih dapat saya ucapkan kepada MAIM dan pembayar zakat di Melaka kerana sentiasa cakna dan prihatin dengan nasib yang menimpa kami sekeluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.