Sorting by

×

PESARA TERHARU DIHARGAI SEMPENA 20 FEBRUARI

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TELOK MAS 22 Februari – Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang telah bersara terus dihargai apabila Kerajaan Negeri menganjurkan majlis khas bagi menghimpunkan para veteran tentera dan polis.

Antara yang hadir ialah Kamarizman Kanapi, 62, pesara polis yang menyifatkan penghargaan diterima sebagai satu pengiktirafan bermakna buat mereka yang pernah berkhidmat mempertahankan keselamatan negara.

“Saya telah bersara dua tahun yang lepas selepas berkhidmat selama 40 tahun di Melaka.

“Sebelum itu saya ditempatkan di Sabah, keadaan di sana ketika itu mencabar dengan ancaman lanun dan pertempuran, namun semua itu menjadi pengalaman sepanjang perkhidmatan saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Gema Ramadan Bersama Pesara Tentera dan Polis Negeri Melaka Sempena Pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Masjid As-Saadah, Ujong Pasir, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang penghargaan, pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri amat menyentuh hati.

“Kami sebenarnya tidak meminta penghargaan ini tetapi apabila usaha dan pengorbanan dihargai, kami berasa bangga dan bersyukur.

“Ramai rakan seperjuangan yang bersama-sama menempuh pelbagai cabaran sejak saya menyertai pasukan polis pada 1984. Kita perlu berterima kasih kepada mereka semua,” katanya.

Kamarizman menyifatkan kehadiran para pesara yang masih mengenakan pakaian kesatuan sebagai lambang semangat juang yang masih utuh dalam diri mereka.

“Walaupun ramai yang sudah bergelar datuk, semangat itu masih ada dan ini bukti bahawa jiwa perjuangan masih hidup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post SUNGAI BADAU TIDAK TERSISIH
Next post SEWAAN ALAT SIAR RAYA BUKA PELUANG BUAT BELIA