
PESAWAT PEJUANG MIG-29 BAKAL JADI ASET BAHARU MUZIUM KAPAL SELAM
KLEBANG 12 Jun – Sebuah pesawat pejuang MiG-29 buatan Rusia, pernah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menjadi tarikan baharu buat pelawat dan pelancong singgah di Muzium Kapal Selam, di Klebang, di sini.
Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Nurman Mohd Baroldin berkata pesawat pejuang sumbangan TUDM itu akan menambah koleksi sedia ada dipamerkan di muzium berkenaan.
“Setakat ini kini kita sudah menempatkan dua pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat iaitu A-4 SkyHawk’ dan ‘Northrop F-5E Tiger II’ yang mana kedua-dua pesawat ini juga pernah digunakan oleh TUDM
“Insya-Allah, penambahan MiG-29 ini akan menjadi tarikan baharu kepada pengunjung dan menambah nilai kepada pengalaman lawatan di Muzium Kapal Selam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong telah mengadakan lawatan ke muzium berkenaan pada Selasa.
Menurut Nurman, hasil lawatan itu Ban Hong turut menyarankan penambahbaikan seperti pemasangan lampu jalan dan papan tanda arah bagi keselesaan serta kemudahan pengunjung.
“Beliau juga menyarankan agar diwujudkan jaringan kerjasama melibatkan semua produk pelancongan yang ada alam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, termasuk Muzium Kapal Selam ini agar aktiviti promosi dapat diselaraskan.
“Terima kasih atas sokongan berterusan beliau dalam memajukan sektor pelancongan, PERZIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi meningkatkan jumlah pengunjung ke muzium kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.