Sorting by

×

PESILAT MUDA SK JERAM HARUMKAN NAMA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MASJID TANAH 6 Januari – Pesilat muda Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram terus membuktikan keunggulan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan acara silat olahraga pada Festival Silat Seni dan Olahraga USTA Fighter Terbuka Kebangsaan 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Masjid Tanah.

Murid SK Jeram Zarith Sofea Basiron, 12, mencuri tumpuan apabila merangkul pingat emas bagi kategori Dini Putri sekali gus mengharumkan nama sekolah dan Melaka di peringkat kebangsaan.

Kejayaan itu turut disusuli pencapaian membanggakan rakan sepasukan apabila Sayed Ezry Elman Sayed Eryas Normayuddin (kategori Pra Remaja) dan Nur Hanie Sufiyya Mohd Sufiean (kategori Pra Dini) masing-masing membawa pulang pingat perak.

Guru Besar SK Jeram Samsir A. Rawad berkata, seramai 11 murid SK Jeram mewakili sekolah dalam festival berprestij yang menghimpunkan 58 persatuan silat dengan penyertaan lebih 1,300 pesilat dari seluruh negara termasuk Sabah melibatkan pelbagai kategori pertandingan.

“Pihak sekolah sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada murid untuk menyertai kejohanan seumpama ini bagi mencungkil bakat serta membina keyakinan diri.

“Silat bukan sekadar sukan, malah warisan seni mempertahankan diri yang wajar dipelihara dan diwarisi generasi muda. Kami optimis minat murid terhadap silat akan terus berkembang.

“Terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa komited memberi sokongan moral dan logistik kepada murid SK Jeram dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2026 01 06 at 11.44.08
ZARITH Sofea (biru) semasa beraksi pada pertandingan tersebut.

Menurut Samsir kejayaan itu juga diperoleh hasil usaha pihak sekolah menubuhkan Kelab Silat Taming Sari SK Jeram pada tahun 2025 yang bernaung di bawah Kelab Silat Taming Sari Fighter Melaka.

“Kelab silat sekolah kami mempunyai 70 ahli dengan sesi latihan dijalankan sekali seminggu di sekolah di bawah bimbingan Jurulatih Effendy Sheikh Mohd Said dari Kelab Silat Taming Sari Fighter Melaka.

“Kami menyasarkan untuk menghantar lebih ramai pesilat berbakat pada masa akan datang memandangkan pertandingan ini diadakan pada setiap tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post GUNTING RAMBUT PERCUMA UNTUK ANAK-ANAK TABOH NANING
Next post ANAK PANTAI KUNDOR TERIMA PAKAIAN, KELENGKAPAN SEKOLAH BAHARU