
PESISIR PANTAI MENGHADAP SELAT MELAKA JADI CADANGAN LOKASI KEMUNCAK WTD 2025
DUYONG 13 Julai – Kawasan pesisir pantai menghadap Selat Melaka di sekitar Klebang dicadang sebagai lokasi acara kemuncak Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kawasan tersebut adalah di sekitar Encore Melaka yang memiliki sebuah panggung bertaraf antarabangsa dengan pentas 360 darjah yang sesuai untuk menyerlahkan elemen kebudayaan dan keseniaan negara.
Selain itu, beliau berkata, kawasan tersebut juga dilihat sesuai memandangkan ia berada betul-betul di hadapan Selat Melaka, sekali gus membolehkan keunikan perairan selat tersebut itu diangkat kepada delegasi pelancongan dunia.
“Setakat ini, Encore menjadi antara lokasi yang telah kita cadangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain beberapa lokasi lain, umpamanya di Banda Hilir.
“Kita percaya lokasi yang dicadangkan ini mempunyai satu nilai keunikan yang tersendiri kerana ia dapat mengangkat pelbagai elemen pelancongan menarik untuk dipersembahkan kepada dunia pada acara kemuncak itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Taman Seri Duyong 2, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama Timbalannya, Leng Chau Yen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurut Abdul Razak, berbaki kira-kira dua bulan sebelum tibanya acara kemuncak WTD dan WTC 2025, pelbagai acara pelancongan sampingan akan diadakan di Melaka bagi mempromosikan acara pelancongan dunia itu.
Jelas beliau, antara acara-acara pelancongan yang dirangka termasuklah berkonsepkan seni dan budaya, selain turut diserlahkan program-program keagamaan bagi menyerlahkan lagi Melaka sebagai destinasi pelancongan agama sempena Maulidur Rasul nanti.
“Insya-Allah, setiap program itu nanti akan kita umumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai dalam masa terdekat.
“Sepanjang tempoh ini juga kita sedang giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan kejayaan penganjuran WTD dan WTC, selain pada masa sama, Melaka juga telah dipilih sebagai lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.