Sorting by

×

PESTA KUTIP KERANG DI PANTAI KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 16 Oktober – Pantai Klebang menjadi tumpuan ramai berikutan kemunculan kerang di pesisir pantai kawasan peranginan itu sejak awal minggu ini.

Suasana di pantai itu bagaikan pesta apabila orang ramai bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar malah pengunjung dari Negeri Sembilan turut bersama-sama mengambil peluang mengutip kerang.

Pengunjung Muhammad Khalid Kamal, 35, berkata dia mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh rakan dan mula ke Pantai Klebang pada Isnin.

“Rasanya sudah lima hari saya turun ke pantai mengutip kerang, boleh dikatakan banyak juga hasilnya. Contoh kalau saya turun bersama tiga atau empat orang dalam dua jam sahaja boleh cecah 15 kilogram (kg).

“Awalnya kami turun hanya untuk suka-suka sahaja tetapi tidak sangka kerang yang dapat agak banyak jadi kami kongsi bersama ahli keluarga lain. Alhamdulillah rezeki, dapat rasa hasil laut dari Pantai Klebang, kalau kalau beli sendiri harga kerang sekarang adalah sekitar RM18 satu kg,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Muhammad Khalid, kehadiran kerang di Pantai Klebang juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk tempatan menjana pendapatan sampingan.

Sementara itu Nurhanniffah Mohd Yasin, 34, menjangkakan suasana Pantai Klebang akan bertambah meriah hujung minggu ini apabila akan lebih ramai pengunjung yang datang untuk mencari kerang memandangkan cuti panjang.

“Kalau lihat hari biasa sudah macam pesta, cuti panjang nanti bertambah lagi kemeriahannya kerana pasti ramai ingin merasa sendiri pengalaman dan suasana mengutip kerang.

“Boleh katakan kerang agak banyak dan saiznya juga besar. Dalam beberapa jam turun sudah empat kg berjaya suami bawa naik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post WRUR: KONGSI ILMU, PERHEBAT KESEDARAN KESELAMATAN ICT
Next post WANITA PANDU MINI COOPER LANGGAR LIMA KENDERAAN AKIBAT TERTEKAN PEDAL MINYAK