Sorting by

×

PLAKAD ‘MANA LAGI? MELAKA LER’ BANTU PROMOSI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SUNGAI UDANG 30 Mei – Plakad ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ yang akan diedarkan pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) antara inisiaitf dilaksanakan bagi membantu mempromosikan serta mempopularkan lagi slogan pelancongan keramat itu yang kini semakin menjadi sebutan ramai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dipilih sebagai lokasi pertama pengedaran plakad itu sebelum diserahkan kepada Seketariat World Tourism Melaka bagi tujuan agihan ke DUN yang lain.

“Slogan ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ telah berjaya menggemparkan industri pelancongan dan ia akan terus digunakan bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 selain semua program yang berasaskan pelancongan akan menggunakan slogan ini.

“Usaha mempromosikan plakad ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ juga bertujuan memperkukuhkan hubungan serta kerjasama Kerajaan Negeri bersama komuniti setempat, sekali gus mempromosikan lagi slogan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan plakad ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ bertempat di premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Usahawan Kerepek bersempena Program DUN Sungai Udang, di Kampung Sungai Udang Jaya, hari ini.

Hadir sama, Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Tuminah Kadi @Mohd Hashim.

Menurut Ab Rauf, plakad ‘Mana Lagi? Melaka Ler’ ini akan dipamerkan mengikut empat kategori utama iaitu Usahawan/Makan-Makan @ Melaka; Hotel @ Melaka; Beca @ Melaka dan Lets Study @ Melaka.

“Menerusi kategori Makan-Makan @ Melaka, plakad akan dipamerkan di premis makanan atau premis perniagaan, ini  secara tidak langsung akan membantu memperkenalkan produk seperti makanan tradisional dan makanan kampung yang selama ini menjadi tarikan pelancong ke Melaka.

“Manakala di bawah kategori Lets Study @ Melaka pula edaran plakad ini akan melibatkan institusi pendidikan termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri menerusi Seketariat World Tourism Melaka memanfaat program WRUR bagi membantu mempromosikan sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post TETAP PEKA, CAKNA KEBAJIKAN RAKYAT SELEPAS WRUR TAMAT
Next post DECATHLON PERKUKUH MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN SUKAN