
PLATFORM E-DAGANG PACU PENINGKATAN USAHAWAN WANITA MUDA DI MELAKA
MELAKA 1 April – Perkembangan pesat platform e-dagang kini menjadi antara pemacu utama yang melonjakkan penglibatan wanita muda di Melaka dalam bidang keusahawanan, khususnya industri produk hiliran.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, dianggarkan antara 12,000 hingga 15,000 entiti perniagaan yang melibatkan wanita muda telah didaftarkan.
Beliau berkata angka itu mencerminkan perubahan ketara dalam landskap keusahawanan negeri, sekali gus memperlihatkan kecenderungan wanita muda untuk memanfaatkan teknologi digital bagi menjalankan perniagaan secara lebih fleksibel, termasuk dari rumah.
“Alhamdulillah, kita melihat peningkatan yang sangat ketara. Ramai usahawan wanita kini berniaga secara dalam talian, malah ada yang turut membuka kiosk fizikal.
“Ini menunjukkan mereka semakin kreatif dan tidak lagi terikat dengan kaedah perniagaan konvensional,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan itu apabila merekodkan peningkatan sekitar 15 hingga 20 peratus pendaftaran perniagaan dalam kalangan wanita berusia 18 hingga 30 tahun.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata lebih 60 peratus usahawan wanita di Melaka memilih model pemilikan tunggal dan beroperasi dari rumah, satu pendekatan yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah selari dengan trend perniagaan digital semasa.
“Platform e-dagang banyak membantu mereka, terutama yang berdepan kekangan seperti sukar keluar rumah atau perlu mengurus keluarga.
“Kini, dengan hanya satu klik, usahawan wanita muda boleh mengurus tempahan, mendapatkan maklumat dan menjalankan perniagaan tanpa proses yang rumit seperti dahulu,” katanya.
Dari segi sektor, beliau berkata industri makanan dan minuman (F&B) terus mendominasi dengan 45 peratus penglibatan, diikuti sektor kesihatan dan kecantikan sebanyak 25 peratus.
Sementara itu, sektor tekstil dan fesyen serta kraf dan digital masing-masing menyumbang sekitar 15 peratus.
Tambah beliau, produk yang dihasilkan juga semakin pelbagai, daripada makanan tradisional yang diinovasikan sehinggalah kepada produk kosmetik dan fesyen moden.
“Lebih membanggakan, ramai wanita muda kini bukan sekadar berniaga, malah berjaya membina jenama sendiri yang mampu bersaing di pasaran.
“Perkembangan ini turut membuktikan bahawa tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan ekonomi negeri, sebaliknya wanita muda kini muncul sebagai antara pemacu utama sektor keusahawanan berasaskan produk hiliran,” katanya.
Dari segi taburan, Kalsom berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merekodkan jumlah tertinggi dengan lebih 4,500 usahawan, khususnya dalam sektor kafe, butik dan produk pelancongan.
Beliau berkata Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula mencatatkan lebih 2,800 usahawan yang tertumpu kepada produk hiliran pertanian dan industri kecil, manakala Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melibatkan kira-kira 2,200 usahawan, terutama dalam sektor makanan tradisional dan asas tani.
“Sementara itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) semakin menyerlah sebagai pusat pertumbuhan baharu bagi perniagaan berasaskan teknologi dan perkhidmatan profesional dalam kalangan wanita muda,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk berdikari serta menjana pendapatan sendiri dalam era digital yang semakin berkembang.
“Kita berharap perkembangan teknologi, kemudahan ruang serta pelbagai inisiatif kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan usahawan ini bagi membantu mereka menjana pendapatan, sekali gus memacu sektor keusahawanan berasaskan produk hiliran,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


