Sorting by

×

PM RASMI SAMBUTAN HARI TVET NEGARA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 12 Jun (Khamis).

Acara berprestij peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu turut menyaksikan berlangsungnya TVET ASEAN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan ini dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung dalam kalangan pelajar, belia dan pencari kerja dari seluruh negara sepanjang tiga hari penganjurannya.

“Acara ini bukan sekadar platform pameran, malah menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan penempatan latihan, hasil kerjasama lebih 60 syarikat dan majikan dengan lebih 5,000 kekosongan jawatan ditawarkan.

“Kita juga sediakan ruang pameran, temuduga terbuka menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada mereka yang sedang mencari kerja.

“Saya mengajak semua rakyat, khususnya pelajar dan belia untuk bersama-sama hadir memeriahkan sambutan ini dan memanfaatkan peluang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM & Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 serta Pelancaran Program Bijak SPM Tahun 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Terdahulu dalam ucapannya Ab Rauf, berkata sambutan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa TVET sebagai laluan kerjaya utama bagi generasi muda.

“Segala inisiatif ini bukan sekadar bantuan atau program jangka pendek. Ia adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap anak Melaka mendapat peluang yang adil, saksama dan bermakna dalam menentukan masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1195
Kongsi :
Previous post MELAKA BERI TUISYEN PERCUMA SPM, STPM UNTUK PELAJAR B40
Next post MELAKA SUMBANG 76 EKOR LEMBU KORBAN SEMPENA AIDILADHA