Sorting by

×

PM SETUJU CADANGAN GAJI MINIMUM RM3,000 UNTUK LULUSAN TVET

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 12 Jun – Kerajaan akan meneliti cadangan agar gaji minimum bagi graduan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ditetapkan pada kadar RM3,000, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, cadangan itu wajar supaya bakat dan kepakaran yang dimiliki lulusan itu dihargai oleh syarikat tempatan dan antarabangsa di negara ini.

“Dahulu, kita telah umumkan gaji minimum RM1,700, tapi Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri kata untuk graduan TVET tidak cukup.

“Kalau ada peluang pekerjaan dapat sampai 98 peratus, gajinya RM1,700 kita kata tak cukup. Itu gaji minimum, maknanya untuk lulusan TVET kita nak naikkan samp[ai RM3,000 minimum permulaannya supaya ada ‘expertise’ dan diterima oleh syarikat-syarikat multinasional dan syarikat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Ahli-Ahli Jemaah Menteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan-Timbalan Menteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.

Menurut Perdana Menteri, walaupun berlaku pergolakan dan kegawatan di seluruh dunia dengan pengenalan tarif oleh Amerika Syarikat, namun ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya saing.

Jelas beliau, ia dibuktikan apabila setakat suku pertama tahun 2025, nilai pelaburan yang telah diluluskan di negara ini adalah sebanyak RM89.8 bilion dan menunjukkan peningkatan 3.7 peratus berbanding tahun lalu.

“Ini membuktikan bahawa dasar yang jelas oleh kerajaan sekarang, selain politiknya yang stabil membuatkan negara ini menjadi pilihan.

“Malah, tenaga kerja yang dilahirkan di negara ini juga diyakini, umpamanya ketika pertemuan dengan Google, baru-baru ini, mereka memaklumkan tenaga kerja di Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia dari segi disiplin dan kemahirannya,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post DENDAM, TEKANAN PERASAAN PUNCA PELAJAR TINGKATAN 5 TIKAM IBU, ABANG HINGGA MATI
Next post KERAJAAN TELITI CADANGAN WUJUDKAN SURUHANJAYA TVET NEGARA