Sorting by

×

PMKS NEGERI JADI PEMANGKIN PERTUMBUHAN EKONOMI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KLEBANG 4 Disember – Sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negeri terus menjadi pemangkin yang membantu Melaka mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, PMKS Melaka merangkumi 3.5 peratus daripada 1.2 juta PMKS di seluruh negara.

Katanya, perkara itu membuktikan bahawa negeri kecil seperti Melaka memiliki tenaga keusahawanan yang signifikan serta menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.

“Ekonomi Melaka terus mencatat perkembangan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 4.4 peratus kepada RM48.9 bilion pada 2024 berbanding RM46.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Struktur ekonomi negeri kekal dipacu oleh sektor perkhidmatan sebagai penyumbang terbesar dengan 51.4 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 35.9 peratus manakala selebihnya disumbangkan oleh sektor pertanian, pembinaan dan perlombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya, Datuk Tuminah Kadi @ Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut seramai 124 usahawan Negeri Melaka diraikan dan diberi pengiktirafan melalui 10 kategori utama serta dua Anugerah Khas kepada Usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang telah menampilkan prestasi dan pencapaian luar biasa.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri komited memperkukuh dasar dan memperluas ruang ekonomi agar setiap keluarga, peniaga dan usahawan dapat merasai manfaat pertumbuhan ekonomi yang dicapai.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh dasar mesra usahawan, membina ekosistem yang lebih menyokong inovasi, mempercepat pendigitalan dan membuka ruang seluas-luasnya untuk syarikat tempatan berkembang setanding pemain antarabangsa.

“Saya ingin melihat lebih banyak syarikat Melaka menembusi pasaran global, lebih ramai usahawan wanita memimpin empayar niaga, lebih ramai belia memilih keusahawanan sebagai jalan perjuangan dan lebih banyak idea hebat lahir dari bumi Hang Tuah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post USAHAWAN MELAKA SEMAKIN BERANI, LEBIH 20 PRODUK TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA