Sorting by

×

PMR 2025: 150 PROGRAM SENTUHAN RAKYAT, MANIFESTASI SEMANGAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MERLIMAU 19 Oktober – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang melabuhkan tirainya hari ini dengan penuh gemilang menyaksikan sebanyak 150 program sentuhan rakyat telah dijalankan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program bertemakan Aspirasi Madani, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara disifatkan meliputi pelbagai aspek yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung.

Katanya, platform tersebut adalah contoh keterangkuman, keprihatinan dan empati antara kerajaan dan masyarakat.

“Sebanyak 38 perkhidmatan kerajaan dibuka termasuk reruai dan kaunter bergerak; Jualan MADANI yang melibatkan lebih 90 usahawan dan peniaga tempatan, dengan tawaran harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

“Selain itu, turut diadakan pertukaran minyak enjin percuma untuk 1,000 penunggang motosikal; 3,500 topi keledar percuma untuk dewasa dan kanak-kanak dan banyak lagi tawaran perkhidmatan menarik yang disediakan.

“Kesemua inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang menyeluruh, bukan sekadar meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi memastikan kesejahteraan itu dirasai secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri.

Ketua Menteri turut terharu di atas kepercayaan kerajaan yang memilih Melaka sebagai lokasi terakhir bagi siri jelajah PMR 2025.

“Bagi kami di Melaka, pemilihan negeri ini sebagai lokasi penutup adalah satu penghormatan yang amat besar, sekali gus menzahirkan komitmen negeri ini dalam mendukung agenda Malaysia MADANI,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post SANTUNI ANAK YATIM MISKIN AGENDA UTAMA MABIMS
Next post PERTEMUAN MABIMS BUKTI KOMITMEN NEGARA ANGGOTA