Sorting by

×

POLIS JASIN BURU INDIVIDU PECAH MASUK KEDIAMAN PENGURUS PUSAT KECANTIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 15 Januari – Polis sedang memburu tiga individu yang disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah dan melarikan sejumlah mata wang asing dalam kejadian di Taman Anjung Gapam, Bemban, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada wanita berusia 37 tahun yang juga pemilik rumah bahawa terdapat beberapa individu menceroboh masuk ke kediamannya.

“Terdahulu kira-kira jam 9.20 malam ketika wanita terbabit dalam perjalanan pulang dia telah menerima notifikasi daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbit terdapat dua individu disyaki lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah manakala seorang lagi berada di luar kediaman.

“Susulan itu, wanita terbabit yang juga pengurus pusat kecantikan telah menghubungi Balai Polis Bemban untuk bantuan awal sebelum Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi.

“Pihak polis telah mengiringi pengadu untuk membuat pemeriksaan dan mendapati laci almari bilik utama terbuka dengan mata wang asing seperti China, Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea dianggarkan RM1,500 telah tiada,” katanya.

Menurut beliau, proses ‘dusting’ yang dijalankan kemudian berjaya mengesan lapan cap jari selain Unit Anjing Pengesan (K9) juga turut digerakkan bagi mengesan suspek terlibat.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian untuk tampil menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 018-3511594 atau boleh tampil ke balai polis berdekatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post AB RAUF HORMATI KEPUTUSAN DR. AKMAL, PERTIMBANG TERIMA ATAU TOLAK PELETAKAN JAWATAN
Next post OPERASI TAMAN INSPIRASI: MPHTJ INDAHKAN KAWASAN ‘BACKLANE’