
POLIS KENAL PASTI IDENTITI LIMA MANGSA KEBAKARAN DI RAUB
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata mangsa yang terkorban ialah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
Beliau berkata ketika kejadian, dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah kerana menetap di asrama.
“Anak mangsa yang tiada di rumah ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shahril berkata hasil siasatan turut mendapati rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


