Sorting by

×

POLIS MARIN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP PATI KE MELAKA, LAPAN DITAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 13 Mac – Cubaan menyeludup masuk lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut tidak kesampaian selepas bot fiber yang dinaiki mereka dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Melaka dalam Op Taring Gelora (Op Khas Aidilfitri 2026), awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bot ronda RH22 PPM mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu batu nautika di utara Pulau Upeh sekitar jam 3 pagi sebelum menahan bot tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan lapan warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki termasuk seorang tekong dan pembantu tekong serta lima wanita berada di dalam bot berkenaan.

“Kesemua mereka berusia antara 27 hingga 45 tahun dipercayai cuba memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada tekong,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati tekong dan pembantu tekong masing-masing berusia 45 dan 35 tahun telah menjalankan aktiviti penyeludupan migran sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan.

“Kegiatan itu dipercayai didalangi oleh seorang individu warga Indonesia yang menetap di Kampung Sukajadi, Dumai, Indonesia dan kesemua PATI berkenaan berurusan dengan tekong menerusi kenalan rapat masing-masing,” katanya.

Menurut Dzulkhairi dalam operasi itu polis turut merampas sebuah bot fiber, dua enjin sangkut jenis Yamaha, tujuh telefon bimbit serta tujuh tong minyak, dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM78,850.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post 25,000 EKOR AYAM SEGAR MURAH UNTUK ORANG MASJID TANAH
Next post TUN DR. MOHD ALI RASMI MASJID AL-HAKEEM, TEHEL