
POLIS MELAKA DAPAT NAIK MELAKA RIVER CRUISE PERCUMA
BANDARAYA MELAKA 25 Mac – Seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Melaka berpeluang menikmati keindahan Sungai Melaka menerusi produk pelancongan ikonik Melaka River Cruise secara percuma.
Tawaran itu diberikan selama sebulan bermula 25 Mac hingga 24 April 2026 sempena Sambutan Hari Polis Ke-219.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, selain kemasukan percuma kepada anggota, pihaknya turut menawarkan diskaun 50 peratus kepada pasangan atau anak-anak warga PDRM Melaka sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan manifestasi tanda penghargaan Kerajaan Negeri dan PPSPM atas dedikasi, komitmen dan khidmat bakti warga PDRM Melaka yang berterusan dalam menjaga keselamatan negara.
“Untuk menebus tawaran ini, warga JKDM Negeri Melaka hanya perlu mengemukakan kad ID pekerja di kaunter Melaka River Cruise, pasangan dan anak-anak mereka juga bakal mendapat diskaun 50 peratus,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Inisiatif masuk percuma ke produk pelancongan terpilih itu telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 yang lalu.
Ia diumumkan di bawah Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan di mana, insentif itu diberikan bersempena 11 sambutan Hari Badan Beruniform dan penjawat awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


