
POLIS MELAKA RAMPAS 351 PISTOL TIRUAN, DISIMPAN DAN JUAL TANPA LESEN
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam pemeriksaan pada 10.22 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga penjaga premis yang beroperasi lebih setahun lepas.
Beliau berkata kesemua pistol itu dirampas kerana peniaga tidak memiliki lesen mengimport senjata tiruan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, selain senjata mainan jenis ‘airsoft gun’ itu tidak dibenarkan dijual kerana menyerupai pistol sebenar.
“Premis berkenaan sebelum ini mempunyai lesen penjualan senjata tiruan tetapi ia tidak diperbaharui menyebabkan pihak polis melakukan pemeriksaan ke atas premis itu. Kami menemukan senjata menyerupai pistol sebenar yang tidak dibenarkan dijual, disimpan dalam stor berkenaan.
“Polis tidak akan mengeluarkan lesen untuk penjualan pistol mainan menyerupai pistol sebenar kerana pembeli dikhuatiri menyalahgunakan senjata itu untuk melakukan jenayah samun dan melakukan pemerasan atau ugutan jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata pistol mainan itu turut dijual bersama peluru ‘airsoft gun’ dalam bentuk biji, namun ia boleh mendatangkan kecederaan jika disalah guna.
Beliau berkata walaupun setakat ini polis tidak mengesan sebarang kes jenayah yang disyaki menggunakan pistol mainan menyerupai pistol sebenar seperti yang dirampas, pihaknya komited mengekang penjualan berkenaan sebagai langkah awal mengekang lambakan penjualan senjata dalam pasaran tempatan, sekali gus penyalahgunaan senjata itu.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati pistol berkenaan dibawa masuk melalui pintu sempadan di utara tanah air untuk dijual di sekitar Melaka secara bersemuka atau dalam talian pada harga antara RM200 hingga RM300.
Beliau berkata setiap pistol pula didapati dibeli pada harga sekitar RM20 hingga RM30 dan penjualan itu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga.
“Polis sedang mengesan pemilik perniagaan berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk lokasi bekalan diperoleh,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.