Sorting by

×

POLIS MELAKA SIAP SIAGA SEPANJANG AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KLEBANG 19 Mac – Seramai 166 anggota trafik digerakkan di seluruh negeri ini sebagai kesiapsiagaan Polis Melaka bagi menghadapi peningkatan aliran kenderaan sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebanyak 10 lokasi ‘hotspot’ telah dikenal pasti di seluruh negeri ini yang melibatkan laluan utama serta persimpangan yang dijangka mengalami kesesakan trafik.

Katanya, sebanyak tujuh lokasi ‘black spot’ turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan maut.

“Seramai 166 anggota trafik telah digerakkan bagi memantau dan mengawal kawasan ‘hotspot’ serta ‘black spot’ di seluruh Melaka sepanjang tempoh perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Ronda Santai Panjut Pelita Bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menjangkakan kemasukan sekitar 300 ribu hingga 400 ribu kenderaan ke Melaka sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.

“Menjelang hari raya ini, Polis Melaka telah mengadakan dua persediaan iaitu pertama kita akan mengadakan Op Lancar yang akan bermula pada 18 hingga 20 Mac dan juga 27 hingga 29 Mac.

“Dalam tempoh Op Lancar itu, antara 21 hingga 26 Mac pula kita akan mengadakan Op Selamat.

“Kita mahu memastikan orang ramai dapat menyambut Hari Raya dalam keadaan selamat dan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini di jalan raya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak polis turut meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan perumahan dan kampung bagi mencegah kejadian jenayah sepanjang musim perayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post TYT, KM HADIRI MAJLIS CERAPAN RASMIHILAL SYAWAL
Next post UMAT ISLAM DI MALAYSIA SAMBUT AIDILFITRI PADA SABTU