Sorting by

×

POLIS MELAKA TENGAH TUMPASKAN PASANGAN KEKASIH ‘PENYAMUN’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 21 Jun – Tindakan licik sepasang kekasih yang giat melakukan jenayah samun rantai emas dan pecah masuk inap desa (homestay) di sekitar Melaka Tengah akhirnya terbongkar apabila kedua-duanya diberkas polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang diterima pihaknya pada 28 Mei lalu.

Menurut beliau, hasil siasatan dan risikan membawa kepada penahanan pasangan tersebut iaitu lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 31 tahun di Kuala Kurau, Perak pada 4 Jun lalu.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek merupakan penganggur dan dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak Januari lalu.

“Polis telah merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk pelbagai peralatan elektrik dan perkakas rumah, seutas rantai tangan emas, lima resit pajak gadai, lima telefon bimbit serta dua buah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati pasangan itu juga terlibat dalam tiga kes di Melaka Tengah selain empat lagi kes di Kuala Lumpur dan Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan, serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1218
Kongsi :
Previous post PRA-PELUNCURAN WTD 2025 PENUH GILANG-GEMILANG
Next post AYAM SEGAR RM10 ‘LAKU KERAS’